MEI 2025

Premier Rasmi Jambatan Batang Rajang


SARIKEI: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg merasmikan Jambatan Batang Rajang hari ini.

Jambatan yang menjadi nadi utama laluan Jalan Pasi ke Tanjung Manis. Jambatan sepanjang 1.44 kilometer (km) itu merupakan komponen penting dalam Rangkaian Jalan Pesisir Zon Tengah Sarawak dan menandakan satu pencapaian bersejarah dalam usaha Kerajaan Sarawak merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Projek yang bernilai RM321 juta ini bukan sekadar pembinaan fizikal, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi inklusif dan mampan.

“Dengan siapnya jambatan ini, ia bukan sahaja menghubungkan Sarikei dan Bintangor terus ke Tanjung Manis, malah mengurangkan jarak perjalanan secara drastik. Ini membuka akses tanpa had ke kawasan pertumbuhan ekonomi utama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang bin Tuanku Othman di sini.

Jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis kini hanya 53 km berbanding 122 km sebelum ini, dengan masa perjalanan yang dipendekkan daripada dua jam 30 minit kepada hanya 45 minit.

Manakala laluan dari Bintangor ke Tanjung Manis pula kini sejauh 60 km sahaja, berbanding 108 km sebelum ini.

Premier kemudiannya menunggang sendiri motosikalnya merentasi jambatan berkenaan menuju ke Tanjung Manis, diiringi dif-dif kenamaan serta konvoi motosikal berkuasa tinggi.